EnglishMalay

PPS TERAKHIR DITUTUP

KELANTAN, 7 DISEMBER 2017: BANJIR di Kelantan pulih sepenuhnya apabila pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir ditutup 12 tengah hari hari ini.

Berdasarkan portal eBanjir Kelantan, PPS terakhir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bunohan, Tumpat yang menempatkan 32 mangsa banjir ditutup.

 

Mangsa membabitkan lapan keluarga itu dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing biarpun masih dilanda banjir termenung.

Banjir melanda negeri ini sejak 26 November menyaksikan hampir 15,000 penduduk di beberapa daerah di negeri ini termasuk Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh dan Tumpat berpindah ke PPS selepas kediaman mereka dinaiki air.

Penduduk di kawasan yang berisiko banjir masih berada dalam keadaan berjaga-jaga berdepan banjir gelombang kedua berikutan Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan lebat melanda negeri ini mulai hari ini sehingga Ahad ini.

Sementara itu, paras Sungai Golok di Rantau Panjang berada di paras amaran dengan bacaan 8.28 meter manakala Sungai Galas, Dabong dan Sungai Kelantan di Tangga Krai berada di paras berjaga-jaga.

Tiga laluan masih ditutup kepada kenderaan iaitu Jambatan Setelu di Gua Musang, Jalan Kok Lanas-Selising di Kota Bharu dan Jalan Pengkalan Kubor-Jeram Perdah (Kesban), Tumpat.

 

Sumber: Metro Online

  •